Tuesday, October 1, 2013

Sejarah Perkembangan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu

Tulisan merupakan lambang berbentuk coretan kepada bahasa. Tulisan bahasa Melayu adalah merupakan lambang kepada bahasa Melayu. Terdapat dua jenis tulisan bagi bahasa Melayu iaitu tulisan Jawi dan tulisan Rumi. Tulisan rumi datang ke kepulauan Melayu bersama-sama dengan kedatangan orang Eropah. Walaupun orang Eropah yang pertama datang ke kepulauan melayu ialah Marco Polo namun beliau bukanlah orang yang membawa tulisan rumi bahasa Melayu ke kepulauan Melayu . Marco Polo telah datang ke kepulauan Melayu dalam tahun 1292-1293M. Beliau tinggal di Sumatera selama 5 bulan.

            Walaupun ramai orang Eropah yang lain telah datang ke kepulauan Melayu seperti paderi-paderi Franciscan dan pedagang-pedagang Itali namun mereka juga bukanlah orang yang membawa tulisan rumi bahasa Melayu ke kepulauan Melayu. Manakala orang Portugis pula telah bertapak dan berkuasa di kepulauan Melayu apabila kapal Portugis di di bawah pimpinan Lopez de Sequiera sampai ke pelabuhan Melaka pada tahun 1511M (Tate, ibid, 43-48). Namun orang Portugis juga bukanlah orang yang membawa tulisan rumi bahasa Melayu ke kepulauan melayu.

            Tulisan rumi bahasa Melayu telah dibawa ke kepulauan Melayu pada tahun 1521M oleh Antonio Pigafetta. Beliau ialah seorang ahli yang turut serta dalam pelayaran Megallen berserta lima buah kapal dari Seville ke kepulauan Melayu. Antonio Pigafetta telah menulis sebuah buku catatan pelayaran yang memuatkan catatan pertama tentang bahasa Melayu dalam tulisan Rumi. Dalam catatan perjalanan itu, Pigafeta juga telah memuatkan beberapa kosa kata bahasa seperti suku bangsa di Brazil ( lapan perkataan ), bahasa ’Petagonian’ (90 perkataan) dan suku bangsa di kepulauan Filipina (160 perkataan) (Bausani, 1960:229).

            Perkataan Melayu yang dicatatkan oleh Pigafetta terdapat lebih kurang 426 perkataan dengan beberapa perkataan bahasa Melayu tempatan yang pelbagai. Namun mengikut pendapat Bausani, banyak juga perkataan dalam senarai Pigafetta itu tidak dikutip secara langsung daripada Maluku tetapi daripada seorang Melayu Sumatera yang bergelar Hendrick. Maluku dan Hendrick ialah hamba kepada Magellan yang telah ikut serta dalam pelayaran itu (Bausani, ibid.: 232). Sistem ejaan yang digunakan oleh Piigafetta adalah berdasarkan sistem ejaan bahasa Itali daripada dialek Vicentine, iaitu tempat asalnya (ibid.).

            Senarai kosa kata Pigafetta ini adalah tulisan rumi bahasa Melayu yang pertama dalam sejarah penulisan rumi di dalam bahasa Melayu. Sistem ejaan yang digunakan oleh Antonio Pigafetta adalah sangat mengagumkan. Ketepatan senarai ejaan kosa kata Pigafetta ini berbanding dengan sistem ejaan bahasa Melayu moden adalah tidak jauh beza. Boleh dikatakan senarai ejaan kosa kata beliau menjadi perintis dan rujukan kepada sistem ejaan rumi bahasa Melayu pada masa kini.

            Selain daripada senarai kosa kata Pigafetta, senarai perkataan bahasa Melayu yang lain dalam tulisan rumi juga ditulis oleh Cornelis de Houtman dalam abad ke-16, iaitu pelayar Belanda yang sampai di Kepulauan Melayu pada tahun 1596. Dia dikatakan mengutip senarai perkataan Melayu itu semasa di dalam penjara di Bantam. Namun, beliau telah ditebus oleh pihak Belanda dan kembali ke Belanda pada tahun 1598. Senarai perkataan Melayu yang ditulis oleh C. Houtman itu kemudiannya disiarkan dan diulas oleh A.W. Hamilton dalam JMBRAS (1947, Vol. XX, Part II).

            Sistem ejaan bahasa Melayu dalam tulisan Rumi semakin berkembang apabila kamus pertama bahasa Inggeris – bahasa Melayu telah disusun oleh Thomas Bowrey pada tahun 1701 dengan judul English and Malayo, Malayo and English yang diterbitkan di London. Bowrey dalam kamus itu juga telah memuatkan ayat-ayat perbualan sehari-hari dan juga dialog-dialog tentang pelbagai tajuk.

            Pada tahun 1812 pula, sebuah buku tatabahasa Melayu dan sebuah kamus Melayu – Inggeris/ Inggeris - Melayu dalam tulisan Rumi telah diterbitkan di London hasil penulisan William Marsden, pegawai Inggeris yang bertugas di Fort Malborough di Bengkulu (1771-1779). Manakala pada tahun 1820, C.H. Thomsen telah menulis sebuah kamus Inggeris –Melayu yang berjudul A Vocabulary of the English and Malayan Languages, Containing about 2000 Words, yang menyenaraikan kata-kata Melayu dengan ejaan Rumi sebagai padanan perkataan Inggeris. Kamus itu telah disusun berdasarkan tajuk-tajuk yang berbeza, dimulai dengan The Numerals, Universe, Natural Phenomena, Ect., Elements, Man, Building Materials dan seterusnya.

            Pada tahun 1848, John Crawford telah membuat satu percubaan untuk merumikan tulisan Jawi bahasa Melayu (Journal of Indian Archipelago and Eastern Asia, 2: 564-570). Ulasan itu tersiar juga dalam bukunya A Grammar and Dictionary of Malay Language with Preliminary Dissertation, Vol.
I: Dissertation and Grammar (1852). Pada tahun 1878, satu jawatankuasa telah ditubuhkan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di bawah kerajaan British, sebagai lanjutan daripada satu pekeliling ajaran Lord Carnarvon, supaya membentuk satu sistem ejaan Rumi yang baku untuk mengeja nama-nama orang dan kawasan tempatan di negeri-negeri ini (JBRAS I: 45-51).


            Pada tahun 1901, van Ophuijsen yang ditugaskan oleh pihak berkuasa Belanda untuk menyusun sesuatu sistem ejaan dalam bahasa Melayu, telah menerbitkan satu sistem ejaan tersebut dalam bukunya Kitab Logat Melajoe (1929, Cetakan ke-8) yang berasaskan sistem ejaan bahasa Belanda.

No comments:

Post a Comment