Tuesday, October 1, 2013

EJAAN RUMI WILKINSON

Ejaan Rumi Wilkinson merupakan sistem ejaan Rumi bahasa Melayu yang diasaskan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kerajaan Melayu Bersekutu (British) pada tahun 1904. Terdapat enam peraturan utama untuk merumikan ejaan bahasa Melayu.

            Peraturan pertama ialah perkataan Inggeris yang dipinjam oleh bahasa Melayu dieja mengikut sebutan Melayu. Manakala, perkataan pinjaman Arab yang dieja mengikut sebutan Melayu hanyalah bagi perkataan yang sudah diasimilasi sepenuhnya.

            Peraturan kedua ialah perkataan pinjaman yang sudah biasa digunakan secara umum dalam bahasa Melayu dieja seperti yang disebut oleh orang Melayu. Contohnya, perkataan maalum, maamur, dan maana iaitu huruf ‘ain pada tengah perkataan yang dieja dengan dua “a” kerana mengikut sebutan bahasa Melayu.

            Peraturan ketiga ialah terdapat beberapa perkataan yanng dipilih seperti kata kemudian (bukan kemedian), demikian (bukan demekian) dan arakian (bukan arekian) kerana boleh menunjukkan dengan lebih terang asal pembentukan katanya jika dieja berbeza mengikut sebutan.

            Begitu juga peraturan keempat bagi kata terbitan yang mengandungi imbuhan dieja menyamai bentuk asalnya walaupun terdapat perubahan bunyi. Misalnya menyabelah dari sa-belah (bukan menyebelah).

                Peraturan kelima ialah perkataan-perkataan seperti sahaja, bahaya, sahaya, baharu, dan cahaya dieja dengan abjad “h” di tengahnya, iaitu menyamai Ejaan van Ophuijsen.


            Peraturan keenam ialah pemilihan vokal antara “o” dan “u”, dan antara “e” dan “i” pada suku kata akhir tertutup mengikut sistem. Contohnya, vokal “o” dipilih bukannya “u” jika pada suku akhir berpola ong, oh, ok; misalnya kepong, buloh dan Merbok. Vokal “u” dipilih jika suku kata akhir berpola um, un, ut, ul, us dan ur; misalnya minum, tahun, turut, betul, hangus dan labur.

No comments:

Post a Comment