Tuesday, October 1, 2013

Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia

Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia adalah hasil daripada satu laporan lengkap tentang ejaan bersama yang melibatkan pihak negara Malaysia dan Indonesia pada 27 Jun 1967. Ejaan rumi baru ini telah diisytiharkan secara rasmi pada 16 Ogos 1972 dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai panduan ejaan untuk kegunaan umum.

            Ejaan Rumi Baharu tahun 1972 ialah hasil daripada pemikiran yang matang yang berlandaskan prinsip-prinsip perancangan bahasa yang baik. Ejaan Rumi Baharu merupakan penyataan pertama daripada perancangan korpus pada peringkat supranasional yang menjadi asas bagi pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serantau seterusnya. Sebagai sistem ejaan yang dirancang untuk keperluan dua buah masyarakat bahasa yang berlainan latar belakang sosiolinguistik dan sejarah pertumbuhannya, Ejaan Rumi Baharu dirumuskan sedemikian rupa supaya dapat diterima oleh semua golongan pengguna kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Rumusan Ejaan Rumi Baharu memperlihatkan prinsip linguistik, ekonomi kesederhanaan, kejelasan dan fleksibeliti serta taraf standart yang tinggi berbanding sistem yang dulu. Sistem Ejaan Rumi baharu ini merupakan sistem wahana yang cekap dan mudah untuk sistem ejaan rumi yang akan datang.

            Sistem ejaan baru ini mempunyai banyak persamaan dengan Ejaan Kongres. Pertama adalah persamaan dari segi keserasian vokal pada suku kata pertama dan kedua tertutup. Kedua ialah penghilangan kebanyakan tanda sempang. Ketiga ialah penggunaan 5 lambang vokal iaitu a,e,i,o, dan u. Keempat ialah pengejaan dan penggunaan bentuk si, ke, se, di, ku, kau, mu, lah, tah, kah dan nya. Kelima ialah penggunaan huruf “c” menggantikan “ch”. Keenam ialah penggunaan gugus konsonan “KK” untuk mengeja kata pinjaman asing.


            Antara aspek perbezaan ejaan rumi baru dengan Ejaan Kongres ialah perlambangan tiga huruf konsonan yang masing-masing mempunyai dua abjad manakala Ejaan Kongres satu abjad iaitu ng, ny dan sy. Kedua ialah perlambangan diftong iaitu ai, au, dan oi. Ketiga ialah penetapan ejaan bagi huruf Jawi ain dan hamzah. Keempat ialah penetapan ejaan kata gabungan iaitu penghilangan sempang dan dieja terpisah, manakala Ejaan Kongres menggunakan sempang bagi kebanyakan kata majmuk dan ada beberapa bentuk yang dieja bercantum tetapi tidak menetapkan jumlahnya.

No comments:

Post a Comment