Tuesday, October 1, 2013

Bagaimana unsur-unsur yang terkandung dalam FPK dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) lahir sebagai suluh yang memberi panduan dan arah tuju kepada segala usaha memajukan pendidikan. Huraikan bagaimana unsur-unsur yang terkandung dalam FPK dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan.

Pada pascamodenisme ini, selain kestabilan politik, ekonomi, kebudayaan dan sistem nilai masyarakat, kemajuan sesebuah negara juga bergantung kepada sistem pendidikan. Ketiadaan dasar pendidikan yang sempurna dan mantap serta falsafah yang jelas menyebabkan sistem pendidikan menjadi tidak sempurna sifatnya kerana mempunyai pelbagai bentuk dan corak yang tidak berfokus. Oleh sebab itu, pada tahun 1988, falsafah pendidikan yang bertulis yang dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah diperkenalkan dan bagi memantapkan lagi falsafah ini, terdapat terdapat sedikit tambahan perkataan dilakukan ke atas FPN pada tahun 1996 dan ekoran tindakan ini, FPN telah ditukar menjadi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK lahir sebagai suluh yang memberi panduan dan arah tuju kepada segala usaha untuk memajukan pendidikan. FPK mengandungi beberapa unsur. Antara unsur-unsur tersebut ialah pendidikan suatu usaha berterusan, memperkembang potensi individu, perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu, insan yang seimbang dan harmonis serta rakyat Malaysia yang berketrampilan. Unsur-unsur ini dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan yang terdiri daripada pendidikan prasekolah, pendidikan sekolah rendah, pendidikan sekolah menengah, pendidikan pascamenengah serta pendidikan tinggi di institusi pengajian tinggi sama ada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ataupun Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Unsur pertama yang terkandung dalam FPK ialah pendidikan suatu usaha berterusan. Pendidikan merupakan suatu proses yang berterusan sepanjang hayat, iaitu, proses ini bermula sejak kita bayi sehinggalah kita meninggal dunia. Untuk mencapai unsur ini, Akta Pendidikan 1996 telah dipinda pada tahun 2002. Menurut Akta Pendidikan 1996, Pindaan 2002, kanak-kanak yang cukup umur belajar diwajibkan mendapat pendidikan di sekolah rendah. Seterusnya, mereka digalakkan meneruskan pendidikan mereka ke peringkat sekolah menengah dan ke peringkat institusi pengajian tinggi. Selain itu, unsur ini dapat dicapai sekiranya rakyat Malaysia mengamalkan pendidikan sepanjang hayat (life long learning). Rakyat Malaysia seharusnya mempraktikkan amalan pendidikan sepanjang hayat agar hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama yang mampu mengharumkan nama negara Malaysia di persada antarabangsa tercapai. Projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dan pelancaran Bulan Membaca yang telah diadakan di sekolah rendah dan sekolah menengah bertujuan untuk mendorong murid-murid mempraktikkan amalan pendidikan sepanjang hayat dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana melalui pembacaan, murid-murid dapat menjana pemikiran kreatif, progresif dan inovatif, menyemai sifat cintakan ilmu dalam sanubari mereka serta membuka minda murid-murid. Secara tidak langsung, melalui amalan membaca, murid-murid akan terus menekorai ilmu pengetahuan selagi hayat dikandung badan dan inilah yang dikatakan proses pendidikan merupakan suatu usaha yang berterusan. Di samping itu, untuk merealisasikan unsur ini, para guru haruslah melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran tertentu dengan cara menghadiri kursus yang dapat membantu mereka memajukan diri. Contohnya, para guru disarankan megikuti kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme Keguruan, khasnya pedagogi pengajaran dan pembelajaran untuk sekolah bestari. Mereka juga perlulah memupuk minat dan budaya membaca dalam sanubari mereka agar tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Bukan itu sahaja, dalam usaha untuk merealisasikan unsur ini, kerajaan telah menawarkan biasiswa kepada para pelajar dan guru untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi demi mencapai kesempurnaan hidup. Seterusnya, untuk mencapai unsur ini, pendidikan jarak jauh (distant education) telah diperkenalkan di Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia untuk memberi peluang kepada orang ramai memperoleh ijazah akademik ataupun ijazah profesional walaupun mereka sudah berada di alam pekerjaan. Selain pendidikan jarak jauh, pendidikan terbuka (open education) telah diadakan di Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM) pada tahun 2000. Melalui pendidikan ini, seseorang individu tidak memerlukan sebarang kelayakan untuk didaftarkan sebagai pelajar dan aktiviti-aktiviti pendidikan boleh dijalankan sama ada di tempat kerja ataupun di rumah. Tegasnya, unsur pendidikan suatu usaha berterusan dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan dengan cara melaksanakan projek NILAM dan melancarkan Bulan Membaca di sekolah rendah dan sekolah menengah, mengamalkan pengajaran dan pembelajaran sepanjang hayat serta dengan adanya pendidikan jarak jauh dan pendidikan terbuka di peringkat institusi pengajian tinggi.
Unsur seterusnya ialah memperkembang potensi individu. Setiap individu mempunyai pelbagai keupayaan dan bakat yang tersendiri yang meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Walaupun setiap individu memiliki keupayaan dan bakat, namun tidak semuanya dapat dilihat dengan jelas kerana kebanyakannya masih terpendam. Jadi, untuk merealisasikan unsur ini, usaha bagi mencungkil, memupuk, mengembang dan meningkatkan keupayaan serta bakat tersebut amat diperlukan. Contohnya, untuk mengembangkan potensi murid-murid dari aspek intelek, guru mestilah memastikan anak-anak murid mereka dapat menguasai kemahiran asas 3M, iaitu, kemahiran membaca, menulis dan mengira dengan baik. Aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK) yang diselitkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga dapat mengembangkan potensi murid-murid dari aspek intelek. Untuk mengembangkan potensi murid-murid dari aspek jasmani pula, subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah diajar di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah untuk mendedahkan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan aktiviti fizikal dan kesihatan tubuh badan kepada murid-murid. Semasa berada di peringkat prasekolah dan sekolah rendah, murid-murid diajar tentang kemahiran-kemahiran asas pergerakan dan untuk memantapkan lagi perkembangan murid-murid dari aspek jasmani, Hari Sukan Tahunan telah diadakan di sekolah-sekolah dan pelbagai acara sama ada acara balapan mahupun acara padang yang dipertandingkan pada hari tersebut untuk memberi peluang kepada murid-murid menonjolkan bakat mereka. Selain itu, setiap murid dikehendaki melibatkan diri secara aktif dalam sukan pilihan mereka selaras dengan konsep Satu Murid Satu Sukan yang telah diperkenalkan baru-baru ini oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Dalam usaha untuk mencapai unsur ini melalui sistem pendidikan kebangsaan, terdapat banyak pertandingan yang telah dianjurkan di sekolah-sekolah seperti pertandingan nasyid dan pertandingan tilawah al-Quran untuk mengembangkan potensi murid-murid dari aspek rohani. Tambahan pula, terdapat sesetengah sekolah yang mengadakan majlis bacaan Yasin pada waktu pagi bagi pelajar-pelajar Muslim terutamanya pada bulan Ramadhan manakala bagi pelajar-pelajar bukan Muslim telah diadakan kuliah moral. Aktiviti-aktiviti yang mampu mendidik jiwa murid-murid seperti ceramah sempena Maulidur Rasul, amal ibadah dan solat hajat juga telah dianjurkan semata-mata untuk mengembangkan aspek rohani. Aspek rohani dan aspek emosi merupakan dua elemen yang saling berkait antara satu sama lain. Hal ini bermakna, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan untuk mengembangkan potensi murid-murid dari aspek rohani secara tidak langsung dapat mengembangkan aspek emosi dalam diri murid-murid. Di peringkat institusi pengajian tinggi, subjek Kecerdasan Emosi telah diajar kepada guru-guru pelatih untuk mengembangkan aspek emosi yang terdapat dalam diri mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa menerusi pendidikan, potensi individu yang merangkumi aspek intelek, jasmani, rohani dan emosi dapat dikembangkan secara optimum demi menjayakan unsur ini.
Perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu merupakan unsur FPK yang ketiga. Potensi yang ada dalam diri seseorang hendaklah dikembangkan secara menyeluruh dan bersepadu. Untuk mencapai unsur ini, kurikulum dan kokurikulum sentiasa diberi penekanan dari semasa ke semasa. Hal ini jelas terbukti kerana sering kali berlaku reformasi ataupun transformasi kurikulum. Pada tahun 1983, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dilaksanakan di semua sekolah rendah, namun, pada tahun 1993, kurikulum ini digantikan dengan kurikulum baru, iaitu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan pada tahun 2011, berlaku pula transformasi kurikulum. KBSR digantikan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum sekolah sering direformasi dari semasa ke semasa demi merealisasikan unsur-unsur yang terkandung dalam FPK. KBSR dan KSSR memberi tumpuan terhadap komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusian, ketrampilan diri, perkembangan fizikal dan estetika serta sains dan teknologi tetapi dalam KSSR, tumpuan juga diberikan terhadap kreativiti dan inovasi serta keusahawanan. Pendek kata, kurikulum sekolah digubal dari semasa ke semasa demi mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Murid-murid dikehendaki mempelajari pelbagai subjek. Mereka dikehendaki mempelajari subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik demi memantapkan kemahiran 3M dalam diri mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga dikehendaki mempelajari subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan demi memupuk sikap-sikap terpuji dan nilai-nilai murni dalam diri mereka manakala subjek Sains dan Kajian Tempatan pula diajar di sekolah bertujuan untuk menerapkan nilai kemanusiaan dan mendedahkan ilmu yang berkaitan dengan persekitaran kepada murid-murid. Untuk perkembangan individu pula, subjek Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan Kemahiran Hidup diajar kepada murid-murid. Murid-murid dikehendaki mempelajari pelbagai subjek untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu. Selain penekanan kepada kurikulum, murid-murid diwajibkan menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah. Mereka diwajibkan melibatkan diri dalam kegiatan permainan dan sukan, kelab dan persatuan serta unit beruniform. Tegasnya, penekanan terhadap aspek kurikulum dan kokurikulum merupakan langkah efektif dan proaktif ke arah mencapai unsur ini melalui sistem pendidikan kebangsaan.
Insan yang seimbang dan harmonis merupakan salah satu unsur yang terkandung dalam FPK. Insan yang seimbang dan harmonis bermaksud insan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang teguh kepada Tuhan, mempunyai fikiran dan jiwa yang tenteram serta mempunyai tubuh badan yang sihat dan cergas. Unsur ini dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan. Di sekolah, guru memainkan peranan penting dalam usaha mengajar dan mendidik anak-anak murid mereka supaya menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani, dan emosi. Kini, proses pendidikan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik semata-mata tetapi juga memberi penekanan terhadap penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini jelas terbukti apabila Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) mengguna pakai dasar pengambilan pelajar ke IPTA berasaskan 90% markah pencapaian akademik dan 10% markah kokurikulum manakala untuk melayakkan seseorang individu memohon untuk melanjutkan pelajaran mereka di Institut Pendidikan Guru (IPG), seseorang itu hendaklah mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang serta bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Inisiatif-inisiatif ini telah diambil semata-mata untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Selain itu, bidang komunikasi dan teknologi maklumat juga dititikberatkan. Penggunaan alat bantu mengajar seperti komputer, projektor LCD (Liquid Crystal Display), projektor lut sinar, rakaman dan tayangan video dalam proses P&P menjadikan proses P&P lebih berkesan dan menarik di samping memberi pendedahan kepada guru-guru supaya mengaplikasikan kemajuan sains dan teknologi dalam bidang pendidikan. Program Celik Komputer juga telah dianjurkan di sekolah-sekolah bertujuan untuk melengkapkan diri murid-murid dengan pengetahuan IT agar mereka menjadi insan yang seimbang dan harmonis. Di samping itu, setiap individu perlulah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran tertentu dan ke arah mencapai matlamat ini, pendidikan vokasional dan teknik telah diperluas melalui penyusunan semula kurikulum sekolah vokasional pada tahun 1978. Penubuhan sekolah-sekolah aliran vokasional dan teknik serta tindakan memperbanyakkan mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah-sekolah menengah harian memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang kurang mahir dalam bidang sains untuk meneruskan pelajaran mereka dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara. Proses pendidikan juga menitikberatkan aspek moral dan kerohanian. Di sekolah, guru memainkan peranan penting dalam usaha mendidik anak-anak murid mereka supaya menjadi insan yang berakhlak mulia, bersahsiah tinggi serta bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara. Oleh itu, jelaslah bahawa melalui sistem pendidikan kebangsaan, unsur insan yang seimbang dan harmonis dapat dicapai.
Unsur seterusnya ialah rakyat Malaysia yang berketrampilan. Rakyat yang berketrampilan ialah rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta rela memberi sumbangan demi kemajuan negara. Mereka mampu melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna dalam masa yang singkat. Unsur ini dapat dicapai dengan cara memupuk sikap kepimpinan dalam diri para pelajar. Di sekolah, terdapat jawatan-jawatan penting seperti pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, ketua kelas dan penolong ketua kelas manakala di peringkat institusi pengajian tinggi pula, adanya barisan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP). Sekiranya pelajar memegang jawatan-jawatan ini, mereka akan dilatih menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan berketrampilan. Hal ini demikian kerana kepimpinan mendewasakan mereka, menjadikan mereka seorang individu yang bertanggungjawab, berdaya saing, berani menempuh cabaran serta berkeyakinan tinggi. Selain itu, aktiviti-aktiviti perkhemahan yang telah dianjurkan di sekolah seperti Kem Bina Insan dan Kem Integrasi bertujuan untuk melatih para pelajar menjadi seorang individu yang berketrampilan. Antara aktiviti-aktiviti yang sering kali dilakukan semasa perkhemahan ialah aktiviti jungle trekking, ice breaking, water confident, flying fox dan kayak. Aktiviti-aktiviti sebegini menguji kekuatan fizikal dan mental serta mendidik pelajar-pelajar menjadi insan yang berdisiplin malah melalui aktiviti-aktiviti ini, mereka mendapat pengalaman yang tidak ternilai harganya. Kesemua aspek ini sangat penting kerana untuk menjadi seorang individu yang berketrampilan, seseorang itu haruslah berdisiplin serta mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental. Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, telah diadakan Program Bina Insan Guru (BIG) dan Program School Based Experience (SBE) untuk  guru-guru pelatih dengan matlamat untuk melahirkan insan guru yang cemerlang, gemilang dan terbilang kerana dengan adanya pendidik yang berwibawa, mudah-mudahan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berketrampilan akan tercapai. Hal ini demikian kerana program-program sebegini bukan sahaja memberikan ilmu pengetahuan, melatih sifat kepimpinan, menyemai semangat kekitaan malah dapat melengkapkan diri seseorang individu dengan kemahiran-kemahiran tertentu. Jika rakyat Malaysia memiliki aspek-aspek ini dalam diri mereka, maka hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat yang berketrampilan dapat direalisasikan. Di samping itu, proses P&P yang berpusatkan murid-murid dengan adanya guru sebagai fasilitator juga merupakan salah satu langkah yang diambil untuk melahirkan insan yang berketrampilan. Guru haruslah sentiasa memberi suntikan semangat dan menggalakkan anak-anak murid menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan di sekolah. Mereka haruslah memberi peluang kepada anak-anak murid mereka mengendalikan program-program yang dianjurkan di sekolah untuk melatih mereka menjadi seorang individu yang berketrampilan. Para guru perlulah membimbing anak-anak murid mereka supaya menjadi individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran serta rela memberi sumbangan demi kemajuan negara. Tegasnya, melalui sistem pendidikan kebangsaan, unsur ini dapat dicapai dengan jayanya.

Inti pati daripada diskusi di atas, jelaslah bahawa unsur-unsur yang terkandung dalam FPK dapai dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan. Pihak kerajaan terutamanya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil pelbagai inisiatif yang efektif dan proaktif demi merealisasikan unsur-unsur yang terkandung dalam FPK. Pihak sekolah dan pihak institusi pengajian tinggi juga tidak ketinggalan menggembleng sinergi demi memastikan unsur-unsur tersebut dapat dicapai dengan jayanya. Justeru, usaha-usaha yang telah dilakukan adalah semata-mata untuk mencapai unsur-unsur yang terkandung dalam FPK, iaitu, falsafah yang memberi panduan dan arah tuju ke arah memajukan pendidikan di negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment