Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
lahir sebagai suluh yang memberi panduan dan arah tuju kepada segala usaha
memajukan pendidikan. Huraikan bagaimana unsur-unsur yang terkandung dalam FPK
dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan.
Pada pascamodenisme
ini, selain kestabilan politik, ekonomi, kebudayaan dan sistem nilai
masyarakat, kemajuan sesebuah negara juga bergantung kepada sistem pendidikan.
Ketiadaan dasar pendidikan yang sempurna dan mantap serta falsafah yang jelas
menyebabkan sistem pendidikan menjadi tidak sempurna sifatnya kerana mempunyai
pelbagai bentuk dan corak yang tidak berfokus. Oleh sebab itu, pada tahun 1988,
falsafah pendidikan yang bertulis yang dikenali sebagai Falsafah Pendidikan
Negara (FPN) telah diperkenalkan dan bagi memantapkan lagi falsafah ini,
terdapat terdapat sedikit tambahan perkataan dilakukan ke atas FPN pada tahun
1996 dan ekoran tindakan ini, FPN telah ditukar menjadi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK). FPK lahir sebagai suluh yang memberi panduan dan arah tuju
kepada segala usaha untuk memajukan pendidikan. FPK mengandungi beberapa unsur.
Antara unsur-unsur tersebut ialah pendidikan suatu usaha berterusan,
memperkembang potensi individu, perkembangan potensi secara menyeluruh dan
bersepadu, insan yang seimbang dan harmonis serta rakyat Malaysia yang berketrampilan.
Unsur-unsur ini dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan yang terdiri
daripada pendidikan prasekolah, pendidikan sekolah rendah, pendidikan sekolah
menengah, pendidikan pascamenengah serta pendidikan tinggi di institusi
pengajian tinggi sama ada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ataupun
Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Unsur pertama yang
terkandung dalam FPK ialah pendidikan suatu usaha berterusan. Pendidikan
merupakan suatu proses yang berterusan sepanjang hayat, iaitu, proses ini
bermula sejak kita bayi sehinggalah kita meninggal dunia. Untuk mencapai unsur
ini, Akta Pendidikan 1996 telah dipinda pada tahun 2002. Menurut Akta
Pendidikan 1996, Pindaan 2002, kanak-kanak yang cukup umur belajar diwajibkan mendapat
pendidikan di sekolah rendah. Seterusnya, mereka digalakkan meneruskan
pendidikan mereka ke peringkat sekolah menengah dan ke peringkat institusi
pengajian tinggi. Selain itu, unsur ini dapat dicapai sekiranya rakyat Malaysia
mengamalkan pendidikan sepanjang hayat (life
long learning). Rakyat Malaysia seharusnya mempraktikkan amalan pendidikan
sepanjang hayat agar hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan minda kelas
pertama yang mampu mengharumkan nama negara Malaysia di persada antarabangsa
tercapai. Projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dan pelancaran Bulan Membaca
yang telah diadakan di sekolah rendah dan sekolah menengah bertujuan untuk
mendorong murid-murid mempraktikkan amalan pendidikan sepanjang hayat dalam
diri mereka. Hal ini demikian kerana melalui pembacaan, murid-murid dapat
menjana pemikiran kreatif, progresif dan inovatif, menyemai sifat cintakan ilmu
dalam sanubari mereka serta membuka minda murid-murid. Secara tidak langsung,
melalui amalan membaca, murid-murid akan terus menekorai ilmu pengetahuan
selagi hayat dikandung badan dan inilah yang dikatakan proses pendidikan
merupakan suatu usaha yang berterusan. Di samping itu, untuk merealisasikan
unsur ini, para guru haruslah melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan
dan kemahiran-kemahiran tertentu dengan cara menghadiri kursus yang dapat
membantu mereka memajukan diri. Contohnya, para guru disarankan megikuti kursus
Peningkatan Keilmuan Profesionalisme Keguruan, khasnya pedagogi pengajaran dan
pembelajaran untuk sekolah bestari. Mereka juga perlulah memupuk minat dan
budaya membaca dalam sanubari mereka agar tidak menjadi seperti katak di bawah
tempurung. Bukan itu sahaja, dalam usaha untuk merealisasikan unsur ini, kerajaan
telah menawarkan biasiswa kepada para pelajar dan guru untuk membolehkan mereka
melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi demi mencapai
kesempurnaan hidup. Seterusnya, untuk mencapai unsur ini, pendidikan jarak jauh
(distant education) telah diperkenalkan
di Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia
dan Universiti Putra Malaysia untuk memberi peluang kepada orang ramai memperoleh
ijazah akademik ataupun ijazah profesional walaupun mereka sudah berada di alam
pekerjaan. Selain pendidikan jarak jauh, pendidikan terbuka (open education) telah diadakan di
Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM) pada tahun 2000. Melalui pendidikan ini,
seseorang individu tidak memerlukan sebarang kelayakan untuk didaftarkan
sebagai pelajar dan aktiviti-aktiviti pendidikan boleh dijalankan sama ada di
tempat kerja ataupun di rumah. Tegasnya, unsur pendidikan suatu usaha
berterusan dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan dengan cara
melaksanakan projek NILAM dan melancarkan Bulan Membaca di sekolah rendah dan
sekolah menengah, mengamalkan pengajaran dan pembelajaran sepanjang hayat serta
dengan adanya pendidikan jarak jauh dan pendidikan terbuka di peringkat
institusi pengajian tinggi.
Unsur seterusnya
ialah memperkembang potensi individu. Setiap individu mempunyai pelbagai
keupayaan dan bakat yang tersendiri yang meliputi aspek intelek, rohani, emosi
dan jasmani. Walaupun setiap individu memiliki keupayaan dan bakat, namun tidak
semuanya dapat dilihat dengan jelas kerana kebanyakannya masih terpendam. Jadi,
untuk merealisasikan unsur ini, usaha bagi mencungkil, memupuk, mengembang dan
meningkatkan keupayaan serta bakat tersebut amat diperlukan. Contohnya, untuk
mengembangkan potensi murid-murid dari aspek intelek, guru mestilah memastikan
anak-anak murid mereka dapat menguasai kemahiran asas 3M, iaitu, kemahiran membaca,
menulis dan mengira dengan baik. Aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemahiran
berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK) yang diselitkan semasa proses pengajaran
dan pembelajaran (P&P) juga dapat mengembangkan potensi murid-murid dari
aspek intelek. Untuk mengembangkan potensi murid-murid dari aspek jasmani pula,
subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah diajar di peringkat sekolah
rendah dan sekolah menengah untuk mendedahkan ilmu pengetahuan yang berkaitan
dengan aktiviti fizikal dan kesihatan tubuh badan kepada murid-murid. Semasa berada
di peringkat prasekolah dan sekolah rendah, murid-murid diajar tentang
kemahiran-kemahiran asas pergerakan dan untuk memantapkan lagi perkembangan
murid-murid dari aspek jasmani, Hari Sukan Tahunan telah diadakan di
sekolah-sekolah dan pelbagai acara sama ada acara balapan mahupun acara padang
yang dipertandingkan pada hari tersebut untuk memberi peluang kepada
murid-murid menonjolkan bakat mereka. Selain itu, setiap murid dikehendaki
melibatkan diri secara aktif dalam sukan pilihan mereka selaras dengan konsep
Satu Murid Satu Sukan yang telah diperkenalkan baru-baru ini oleh Yang Amat
Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Dalam
usaha untuk mencapai unsur ini melalui sistem pendidikan kebangsaan, terdapat
banyak pertandingan yang telah dianjurkan di sekolah-sekolah seperti
pertandingan nasyid dan pertandingan tilawah al-Quran untuk mengembangkan potensi
murid-murid dari aspek rohani. Tambahan pula, terdapat sesetengah sekolah yang
mengadakan majlis bacaan Yasin pada waktu pagi bagi pelajar-pelajar Muslim
terutamanya pada bulan Ramadhan manakala bagi pelajar-pelajar bukan Muslim
telah diadakan kuliah moral. Aktiviti-aktiviti yang mampu mendidik jiwa
murid-murid seperti ceramah sempena Maulidur Rasul, amal ibadah dan solat hajat
juga telah dianjurkan semata-mata untuk mengembangkan aspek rohani. Aspek
rohani dan aspek emosi merupakan dua elemen yang saling berkait antara satu
sama lain. Hal ini bermakna, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan untuk
mengembangkan potensi murid-murid dari aspek rohani secara tidak langsung dapat
mengembangkan aspek emosi dalam diri murid-murid. Di peringkat institusi
pengajian tinggi, subjek Kecerdasan Emosi telah diajar kepada guru-guru pelatih
untuk mengembangkan aspek emosi yang terdapat dalam diri mereka. Oleh itu,
jelaslah bahawa menerusi pendidikan, potensi individu yang merangkumi aspek
intelek, jasmani, rohani dan emosi dapat dikembangkan secara optimum demi
menjayakan unsur ini.
Perkembangan
potensi secara menyeluruh dan bersepadu merupakan unsur FPK yang ketiga.
Potensi yang ada dalam diri seseorang hendaklah dikembangkan secara menyeluruh
dan bersepadu. Untuk mencapai unsur ini, kurikulum dan kokurikulum sentiasa
diberi penekanan dari semasa ke semasa. Hal ini jelas terbukti kerana sering kali
berlaku reformasi ataupun transformasi kurikulum. Pada tahun 1983, Kurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dilaksanakan di semua sekolah rendah, namun, pada
tahun 1993, kurikulum ini digantikan dengan kurikulum baru, iaitu, Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan pada tahun 2011, berlaku pula transformasi
kurikulum. KBSR digantikan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Kurikulum sekolah sering direformasi dari semasa ke semasa demi merealisasikan
unsur-unsur yang terkandung dalam FPK. KBSR dan KSSR memberi tumpuan terhadap
komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusian, ketrampilan diri,
perkembangan fizikal dan estetika serta sains dan teknologi tetapi dalam KSSR,
tumpuan juga diberikan terhadap kreativiti dan inovasi serta keusahawanan.
Pendek kata, kurikulum sekolah digubal dari semasa ke semasa demi mengembangkan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Murid-murid dikehendaki
mempelajari pelbagai subjek. Mereka dikehendaki mempelajari subjek bahasa
Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik demi memantapkan kemahiran 3M dalam diri
mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga dikehendaki mempelajari subjek Pendidikan
Islam, Pendidikan Moral serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan demi memupuk
sikap-sikap terpuji dan nilai-nilai murni dalam diri mereka manakala subjek
Sains dan Kajian Tempatan pula diajar di sekolah bertujuan untuk menerapkan
nilai kemanusiaan dan mendedahkan ilmu yang berkaitan dengan persekitaran
kepada murid-murid. Untuk perkembangan individu pula, subjek Pendidikan Muzik,
Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan Kemahiran Hidup diajar kepada
murid-murid. Murid-murid dikehendaki mempelajari pelbagai subjek untuk
mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu. Selain penekanan
kepada kurikulum, murid-murid diwajibkan menyertai aktiviti-aktiviti
kokurikulum di sekolah. Mereka diwajibkan melibatkan diri dalam kegiatan
permainan dan sukan, kelab dan persatuan serta unit beruniform. Tegasnya,
penekanan terhadap aspek kurikulum dan kokurikulum merupakan langkah efektif
dan proaktif ke arah mencapai unsur ini melalui sistem pendidikan kebangsaan.
Insan yang
seimbang dan harmonis merupakan salah satu unsur yang terkandung dalam FPK.
Insan yang seimbang dan harmonis bermaksud insan yang berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang teguh kepada Tuhan,
mempunyai fikiran dan jiwa yang tenteram serta mempunyai tubuh badan yang sihat
dan cergas. Unsur ini dapat dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan. Di
sekolah, guru memainkan peranan penting dalam usaha mengajar dan mendidik
anak-anak murid mereka supaya menjadi insan yang seimbang dari segi intelek,
jasmani, rohani, dan emosi. Kini, proses pendidikan bukan sahaja memberi
tumpuan kepada pencapaian akademik semata-mata tetapi juga memberi penekanan
terhadap penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini
jelas terbukti apabila Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) mengguna
pakai dasar pengambilan pelajar ke IPTA berasaskan 90% markah pencapaian akademik
dan 10% markah kokurikulum manakala untuk melayakkan seseorang individu memohon
untuk melanjutkan pelajaran mereka di Institut Pendidikan Guru (IPG), seseorang
itu hendaklah mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang serta bergiat aktif
dalam aktiviti kokurikulum. Inisiatif-inisiatif ini telah diambil semata-mata
untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Selain itu, bidang
komunikasi dan teknologi maklumat juga dititikberatkan. Penggunaan alat bantu
mengajar seperti komputer, projektor LCD (Liquid
Crystal Display), projektor lut sinar, rakaman dan tayangan video dalam
proses P&P menjadikan proses P&P lebih berkesan dan menarik di samping
memberi pendedahan kepada guru-guru supaya mengaplikasikan kemajuan sains dan
teknologi dalam bidang pendidikan. Program Celik Komputer juga telah dianjurkan
di sekolah-sekolah bertujuan untuk melengkapkan diri murid-murid dengan
pengetahuan IT agar mereka menjadi insan yang seimbang dan harmonis. Di samping
itu, setiap individu perlulah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran
tertentu dan ke arah mencapai matlamat ini, pendidikan vokasional dan teknik
telah diperluas melalui penyusunan semula kurikulum sekolah vokasional pada
tahun 1978. Penubuhan sekolah-sekolah aliran vokasional dan teknik serta
tindakan memperbanyakkan mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah-sekolah
menengah harian memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang kurang mahir dalam
bidang sains untuk meneruskan pelajaran mereka dan seterusnya menyumbang kepada
pembangunan negara. Proses pendidikan juga menitikberatkan aspek moral dan
kerohanian. Di sekolah, guru memainkan peranan penting dalam usaha mendidik
anak-anak murid mereka supaya menjadi insan yang berakhlak mulia, bersahsiah
tinggi serta bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan
negara. Oleh itu, jelaslah bahawa melalui sistem pendidikan kebangsaan, unsur insan
yang seimbang dan harmonis dapat dicapai.
Unsur seterusnya
ialah rakyat Malaysia yang berketrampilan. Rakyat yang berketrampilan ialah
rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta rela memberi
sumbangan demi kemajuan negara. Mereka mampu melaksanakan tugas dengan cekap
dan sempurna dalam masa yang singkat. Unsur ini dapat dicapai dengan cara
memupuk sikap kepimpinan dalam diri para pelajar. Di sekolah, terdapat
jawatan-jawatan penting seperti pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, ketua
kelas dan penolong ketua kelas manakala di peringkat institusi pengajian tinggi
pula, adanya barisan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP). Sekiranya pelajar
memegang jawatan-jawatan ini, mereka akan dilatih menjadi seorang pemimpin yang
berkaliber dan berketrampilan. Hal ini demikian kerana kepimpinan mendewasakan
mereka, menjadikan mereka seorang individu yang bertanggungjawab, berdaya
saing, berani menempuh cabaran serta berkeyakinan tinggi. Selain itu,
aktiviti-aktiviti perkhemahan yang telah dianjurkan di sekolah seperti Kem Bina
Insan dan Kem Integrasi bertujuan untuk melatih para pelajar menjadi seorang
individu yang berketrampilan. Antara aktiviti-aktiviti yang sering kali
dilakukan semasa perkhemahan ialah aktiviti jungle
trekking, ice breaking, water confident, flying fox dan kayak.
Aktiviti-aktiviti sebegini menguji kekuatan fizikal dan mental serta mendidik pelajar-pelajar
menjadi insan yang berdisiplin malah melalui aktiviti-aktiviti ini, mereka
mendapat pengalaman yang tidak ternilai harganya. Kesemua aspek ini sangat
penting kerana untuk menjadi seorang individu yang berketrampilan, seseorang
itu haruslah berdisiplin serta mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental.
Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, telah diadakan Program Bina Insan
Guru (BIG) dan Program School Based
Experience (SBE) untuk guru-guru
pelatih dengan matlamat untuk melahirkan insan guru yang cemerlang, gemilang
dan terbilang kerana dengan adanya pendidik yang berwibawa, mudah-mudahan
hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berketrampilan akan
tercapai. Hal ini demikian kerana program-program sebegini bukan sahaja
memberikan ilmu pengetahuan, melatih sifat kepimpinan, menyemai semangat
kekitaan malah dapat melengkapkan diri seseorang individu dengan
kemahiran-kemahiran tertentu. Jika rakyat Malaysia memiliki aspek-aspek ini dalam
diri mereka, maka hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat yang berketrampilan
dapat direalisasikan. Di samping itu, proses P&P yang berpusatkan
murid-murid dengan adanya guru sebagai fasilitator juga merupakan salah satu
langkah yang diambil untuk melahirkan insan yang berketrampilan. Guru haruslah
sentiasa memberi suntikan semangat dan menggalakkan anak-anak murid menyertai
aktiviti-aktiviti yang diadakan di sekolah. Mereka haruslah memberi peluang
kepada anak-anak murid mereka mengendalikan program-program yang dianjurkan di
sekolah untuk melatih mereka menjadi seorang individu yang berketrampilan. Para
guru perlulah membimbing anak-anak murid mereka supaya menjadi individu yang
berilmu pengetahuan, berkemahiran serta rela memberi sumbangan demi kemajuan
negara. Tegasnya, melalui sistem pendidikan kebangsaan, unsur ini dapat dicapai
dengan jayanya.
Inti pati daripada diskusi di atas, jelaslah bahawa unsur-unsur
yang terkandung dalam FPK dapai dicapai melalui sistem pendidikan kebangsaan.
Pihak kerajaan terutamanya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah
mengambil pelbagai inisiatif yang efektif dan proaktif demi merealisasikan
unsur-unsur yang terkandung dalam FPK. Pihak sekolah dan pihak institusi
pengajian tinggi juga tidak ketinggalan menggembleng sinergi demi memastikan unsur-unsur
tersebut dapat dicapai dengan jayanya. Justeru, usaha-usaha yang telah
dilakukan adalah semata-mata untuk mencapai unsur-unsur yang terkandung dalam
FPK, iaitu, falsafah yang memberi panduan dan arah tuju ke arah memajukan
pendidikan di negara Malaysia.
No comments:
Post a Comment