Pada zaman dahulu, di negara
Jepun mengisahkan seekor naga yang sangat besar dan ganas. Naga itu mendiami
sebuah hutan yang berhampiran dengan sebuah kampung. Naga tersebut sering
menceroboh kampung tersebut dan menyerang binatang ternakan penduduk kampung
.
Penduduk
kampung sangat takut akan naga itu. Mereka akan bertempiaran lari setiap kali
naga itu datang menyerang kampung. Disebabkan tidak tahan dengan kehidupan
mereka yang sering diganggu naga itu, penduduk kampung beriktihar mencari jalan
menangkap naga itu.
Setelah
bermuafakat, penduduk kampung sebulat suara untuk membuat perangkap di jalan yang sering dilalui naga itu. Pada
malam itu juga mereka telah menggali lubang yang besar dan dalam. Mereka
menutupi lubang itu dengan batang kayu dan daun supaya naga tidak dapat
mengesan lubang yang dalam itu.
Keesokan paginya, naga itu seperti biasa melalui jalan ke
kampung tanpa mensyaki apa-apa. Tiba-tiba, ia terpijak perangkap itu dan
terjerumus ke dalam lubang sehingga tidak sempat berbuat apa-apa. Naga itu
berasa cemas dan ketakutan kerana tidak ada jalan keluar dari lubang yang dalam
itu.
Setelah beberapa lama, lalu seorang pengembara yang
melintasi lubang perangkap itu. Dia sangat terkejut apabila melihat seekor naga
yang besar berada di dalam lubang itu. Naga itu berteriak dari dalam lubang dan
berkata, “Wahai pengembara yang baik hati, tolonglah keluarkan saya dari lubang
ini.”
Pengembara itu berasa sangat kasihan lalu menarik
sebatang dahan yang panjang dan menghulurkannya ke dalam lubang. Sebaik sahaja
naga itu berjaya memanjat keluar melalui dahan yang panjang itu, ia terus
menerkam pengembara itu dan berkata, “Disebabkan manusia, aku telah
terperangkap ke dalam lubang ini. Oleh itu, aku harus membunuh kamu kerana kamu
adalah manusia.
Pengembara itu sangat takut dan mengeletar dengan
tindakan naga yang mengejut itu. Dia dengan suara tergagap-gagap berkata,
“Tolong lepaskan saya wahai naga. Bukankah saya yang melepaskan kamu dari
lubang ini?” Naga itu pun menengkingnya, “Aku tidak kira! Berani sungguh
manusia kerana cuba memerangkap aku.”
Pengembara itu pun berkata, “Marilah kita mencari
seseorang untuk menghakimi siapa yang betul dan siapa yang salah.” Naga itu
bersetuju akan cadangan pengembara itu. Kemudian, lalu seekor rubah di tempat
kejadian. Naga itu memanggil rubah itu dan memintanya menjadi hakim kepada
mereka berdua.
Rubah itu berkata, “Saya juga selalu diburu oleh manusia.
Mereka tidak mempunyai belas kasihan langsung. Manusia ini adalah bersalah.”
Pengembara itu terkejut mendengar kata rubah itu dan berkata’ “Tunggu sebentar.
Kita cari hakim yang lain untuk menghakimi kita berdua.” Kemudian, lalu seekor
burung pipit di tempat kejadian. Naga itu memanggil burung pipit itu dan
memintanya menjadi hakim kepada mereka berdua.
Burung pipit itu berkata, “Saya juga selalu dianiaya
manusia. Apabila saya memakan padi tanaman mereka, saya sering dilempar dengan
batang kayu. Manusia ini adalah bersalah.” Pengembara itu terkejut mendengar
kata burung pipit itu dan berkata’ “Tunggu sebentar. Kita cari hakim yang
terakhir untuk menghakimi kita berdua.”
Kemudian lalu seekor pelanduk di tempat kejadian. Naga
itu memanggil pelanduk itu dan memintanya menjadi hakim kepada mereka berdua.
Apabila pelanduk itu mengetahui perkara yang sebenar tentang situasi yang
berlaku, dia pun meminta naga itu menunjukkan dengan terperinci dari permulaan
tentang cerita yang berlaku.
Tanpa berfikir panjang, naga itu pun menunjukkan cara ia
terjatuh ke dalam lubang itu. Pelanduk itu mengangguk faham dan meminta
pengembara menarik semula dahan kayu daripada lubang itu. Kemudian, pelanduk
itu berkata, “Begini rupanya permulaan perkara ini berlaku.” Pelanduk itu
meminta pengembara meneruskan perjalanannya dan haiwan lain untuk beredar dari
situ.
Naga yang di dalam lubang itu terpinga-pinga dan
menyedari bahawa pelanduk itu telah memperdayakannya. Maka, terperangkaplah
naga di dalam lubang yang dalam itu selama-lamanya